KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang mewujudkan sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri di Kidurong, Bintulu selepas PPV Press Metal.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata pewujudan PPV di Kidurong adalah untuk memberi kemudahan kepada pekerja di syarikat minyak dan gas mendapat vaksin.
“Kita wujudkan satu pusat vaksin di kawasan Kidurong kerana kita mempunyai syarikat minyak dan gas dan kontraktor mereka yang beroperasi di Kidurong dimana sistem dan prosesnya serupa dengan di Samalaju
“Jadi kemudahan ini diberikan untuk mempercepatkan vaksinasi dengan target pada bulan Ogos, sedikit sebanyak menemui target kita dengan 80 peratus rakyat sudah dapat vaksin,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan ke PPV Press Metal pada Khamis.
Dalam sidang media sama, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu kerajaan negeri mensasarkan untuk meningkatkan kapasiti vaksinasi di Bintulu dari 3,000 kepada 5,000 dalam masa sehari.
“Di Bintulu,kira-kira 200,000 orang yang layak untuk mendapatkan vaksin dan sekarang ini kapasitinya dalam lebih kurang 3,000 untuk satu hari tapi kita hendak dinaikkan kepada 5,000 satu hari.
“Dan kalau kita tambah pusat vaksinansi di kawasan tempat kerja, ia boleh meningkat lebih 5,000,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talip Zulphilip, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing. -EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS